Oleh MARHAINI KAMARUDDIN
(WARTAWAN UTUSAN)
DEFINISI popular bahawa rasuah ialah perbuatan menggunakan kemudahan awam untuk kepentingan peribadi telah mendedahkan dan membuka banyak ruang kepada pelbagai pihak membuat tanggapan masing-masing terhadap tindakan pihak berkuasa yang selalunya negatif.
Di Malaysia, persepsi masyarakat terhadap pihak penguat kuasa undang-undang di negara ini telah menjejaskan imej pasukan dan agensi terlibat walaupun hakikatnya tidak seperti yang dibayangkan.
Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Ahmad Said Hamdan, semasa Seminar Kepimpinan Berintegriti Ketua-ketua Jabatan Negeri Pahang bulan lepas mendedahkan sepanjang 10 bulan pertama tahun ini sahaja agensi itu menerima 13,669 maklumat dan daripada jumlah itu, 1,235 kertas siasatan dibuka yang membabitkan 548 individu.
Dengan jumlah pegawai dan kakitangan BPR yang terhad, pencapaian itu sebenarnya agak menakjubkan kerana mereka perlu bekerja - menjalankan siasatan, mengumpul bukti dan mencari saksi.
Angka tersebut bagaimanapun tidak menarik perhatian pengkritik dan para skeptik sebaliknya yang tetap menjadi panduan dan perbandingan tentulah carta tahunan Transparency International (TI).
Dan sebagaimana lazimnya, prestasi Malaysia menangani rasuah kerap dibandingkan dengan negara jiran Singapura yang menyertai kelompok 10 senarai teratas sejak 10 tahun lalu, begitu juga Hong Kong yang dianggap sumber rujukan terbaik termasuk oleh kalangan pemimpin politik pembangkang.
Malaysia yang berkeluasan 329,847 kilometer persegi dengan 27.7 juta penduduk berbanding saiz Singapura hanya 707 kilometer persegi dengan 4.8 juta orang, menduduki senarai 20 ke bawah dalam senarai TI.
Walaupun agak dangkal mengukur prestasi tanpa mengambil kira pelbagai aspek daripada jumlah kes, bilangan pegawai penguat kuasa dan jenis-jenis kes termasuk berprofil tinggi yang berbeza antara negara - kedudukan Malaysia dalam carta Indeks Persepsi Rasuah (CPI) sahaja yang dijadikan ukuran.
Jadi sungguhpun persepsi dan realiti adalah dua perkara yang berbeza, dalam konteks rasuah, ia menjadi sesuatu yang amat penting khususnya untuk menarik pelaburan seterusnya mengukuhkan ekonomi negara.
Menyedari realiti ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi teguh mahu memastikan isu mengenai rasuah diselesaikan sebelum beliau berundur pada Mac tahun depan.
Dalam pertemuan dengan para pengarang Utusan Malaysia baru-baru ini, Abdullah menjelaskan betapa pentingnya isu tersebut diberi keutamaan dan untuk menanganinya, tiga kelompok utama iaitu polis, hakim dan BPR - yang sering menjadi sasaran kritikan dikembalikan kredibilitinya.
Pembentangan Rang Undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) oleh Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini, merupakan langkah pertama ke arah itu.
"Kita akan melihat BPR yang berbeza kerana ia akan mempunyai lebih kemampuan untuk bertindak. Apa yang penting, orang luar perlu mempercayai integriti siasatan yang dijalankan itu, barulah keputusannya tidak dipersoalkan," tegas Abdullah dalam pertemuan itu.
Rang undang-undang SPRM sepatutnya mendapat sokongan tanpa bantahan Ahli-ahli Parlimen tanpa mengira sama ada parti kerajaan atau pembangkang kerana seperti 'dikehendaki' oleh banyak pihak dan diluluskan oleh mesyuarat Jemaah Menteri April lalu, ia akan berpandukan model Hong Kong Independent Commission Against Corruption (ICAC) yang selama ini menjadi 'kiblat' pejuang anti rasuah.
Jika mengikut model Hong Kong ICAC yang dibentuk pada 1974, operasi pencegahan rasuah di Malaysia selepas ini akan dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu Jabatan Operasi yang menerima, menimbang dan menyiasat dakwaan rasuah; Jabatan Pencegahan Rasuah yang berfungsi meneliti amalan dan prosedur jabatan kerajaan dan badan awam atas permintaan dan ketiga; Jabatan Perhubungan Komuniti yang mendidik orang awam agar menentang rasuah dan menyediakan sokongan untuk memeranginya.
Sistem 'semak dan imbang' dalam ICAC Hong Kong meletakkan agensi itu terus di bawah Ketua Eksekutif negara itu atau di Malaysia, diletakkan di bawah Perdana Menteri.
Dan lazimnya status suruhanjaya di Malaysia bermakna pelantikan anggotanya juga mungkin dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong.
Jika mencontohi bulat-bulat ICAC Hong Kong, SPRM juga perlu menjawab kepada beberapa badan pemantau atau panel penasihat yang ditubuhkan untuk mengawasi pergerakan suruhanjaya tersebut.
Pada masa yang sama, terdapat Jawatankuasa Aduan ICAC iaitu badan bebas yang memantau dan menyemak semua aduan bukan jenayah terhadap agensi itu sendiri dan kakitangannya.
ICAC Hong Kong juga mempunyai sistem pemantauan dalamannya sendiri untuk memastikan setiap tindakan agensi itu mencapai satu standard yang ditetapkan dan diharap-harapkan oleh komuniti.
Sekiranya SPRM mempunyai kesemua elemen di atas, tidak ada ruang lagi untuk agensi pencegahan rasuah negara ini menjadi mangsa kritikan atau keraguan.
Penstrukturan BPR menjadi satu suruhanjaya bebas sudah pasti dapat mengubah persepsi umum bahawa wujudnya campur tangan kerajaan di dalam agensi berkenaan.
Penubuhan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah bebas yang menjadi elemen penting dalam suruhanjaya itu seperti diumumkan sebelum ini mampu menjadi penyemak dan pengimbang untuk menjamin ketelusan dan integriti suruhanjaya tersebut.
Walaupun akan ada pihak yang cuba mempertikai dan meremehkan pembentangan rang undang-undang ini, pembentukan SPRM akan diingati dalam sejarah sebagai bukti komitmen kerajaan untuk memerangi perbuatan rasuah dan sangkaan buruk tentang tahap rasuah di negara ini.
Ia seterusnya akan mengangkat agensi pencegahan rasuah negara ke tempat yang tinggi dan dihormati oleh rakyat dan masyarakat antarabangsa.


No comments:
Post a Comment