JOHOR BAHRU: Gerakan berkata, tindakan Pakatan Rakyat (PR) memujuk anggota parlimen BN melompat ke PR akan hanya menimbulkan tindak balas serupa oleh parti-parti komponen BN pada masa depan.
Pemangku Presiden parti itu, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, berkata masalah akan timbul bila kedua-dua pihak akan memilih kaedah itu bagi membentuk kerajaan, dengan itu mewujudkan ketidakstabilan politik dan ekonomi negara.
"Gerakan sentiasa menegaskan bahawa kerajaan perlu ditentukan menerusi proses demokrasi pilihan raya umum," katanya kepada wartawan selepas merasmikan Konvensyen Gerakan Negeri di sini hari ini.
Mengenai permintaan pemimpin PR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengadakan perbincangan tertutup antara wakil-wakil PR dengan Perdana Menteri tentang isu keselamatan dan masa depan politik negara, Koh berkata ini tidak perlu di peringkat sekarang.
Beliau berkata, BN sentiasa berusaha mengukuhkan perpaduan dalam negara sekalipun timbul pendapat berbeza di kalangan partiparti komponen pada masamasa tertentu.
Mengenai sama ada pihak berkusa harus mengenakan tindakan Akta Keselamatan Negeri (ISA) terhadap wartawan dan pengendali blog yang menyentuh sensitiviti masyarakat berbilang kaum, beliau berkata mesti ada perbezaan antara peranan wartawan yang menjalankan tugas dengan penulis blog dalam mengamalkan kebebasan bersuara.
"Bila wartawan melaporkan sesuatu, mereka menjalankan tugas mereka tetapi bila penulis blog melahirkan pendapat dengan niat menghasut atau mencetuskan kebencian...kita harus lihat dari sudut ini (sebelum mengenakan ISA)," kata beliau.
Koh berkata, lebih baik tidak menggunakan ISA kecuali untuk kes-kes yang jelas mengancam keselamatan nasional.
Sehubungan itu, penggunaan Akta Hasutan dan Akta Polis adalah memadai oleh kerana kedua-duanya memberi peluang kepada orang berkenaan membela diri di mahkamah.
BERNAMA
(source : The Star)


No comments:
Post a Comment