KUALA LUMPUR - Perkhidmatan pengangkutan awam bandar, bas RapidKL,
sistem transit aliran ringan (LRT) dan monorel akan dilanjutkan sempena
sambutan Tahun Baharu 2014, Selasa ini.
Naib Presiden Eksekutif Jabatan Komunikasi dan Pemasaran Strategik
Kumpulan Prasarana Negara Berhad, Lim Jin Aun berkata, semua stesen LRT
dan monorel akan dibuka sehingga pukul 1 pagi dengan stesen utama iaitu
KL Sentral, KLCC, Masjid Jamek, Hang Tuah, Imbi, Bukit Bintang, Bukit
Nanas dan Titiwangsa melanjutkan operasi masing-masing sehingga pukul 2
pagi.
"Meskipun begitu, kami akan memantau bilangan pengguna dengan teliti.
Jika terdapat keperluan untuk melanjutkan lagi tempoh operasi, kami
akan berbuat demikian selain menambah bilangan tren,” katanya dalam satu
kenyataan hari ini.
Perkhidmatan bas RapidKL pula akan dilanjut setengah jam melebihi perkhidmatan tren bagi memudahkan orang ramai, katanya.
Lim berkata, laluan bas yang akan dilanjut perkhidmatannya ialah U64
(dari Taman Seri Muda ke Pasar Seni), U66 (Taman Medan ke Pasar Seni),
U68 (Sri Manja/Sentosa ke Pasar Seni), U70 (Puchong Prima ke Pasar
Seni), U22 (Sri Nilam ke Jalan Hang Lekiu), U40 (Terminal Kajang ke
Mydin Sinar Kota), U23 (Taman Melawati ke Lebuh Ampang), U224 (Bandar
Dato Senu ke Kotaraya), U6 (Taman Jasa Utama ke Medan Pasar) dan U88
(Kota Damansara ke Pasar Seni). - Bernama
No comments:
Post a Comment