PORT ELIZABETH: Jerman dan Uruguay bakal bertarung bagi menebus maruah yang tercalar pada perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat awal pagi esok, selepas masing-masing tewas di separuh akhir, awal minggu ini.
Kedua-dua pasukan terlepas aksi final tetapi masih mampu mendabik dada dengan kemenangan yang dicatat ke atas beberapa pasukan gergasi sebelum tumbang kepada Sepanyol dan Belanda dalam kelompok empat terakhir.
Barisan muda Jerman yang sebelum ini begitu berkesan meledak gol, menjadi pilihan untuk mencatat kemenangan terakhir di Port Elizabeth pada kempen Piala Dunia 2010 kali ini, dengan jurulatih Joachim Loew berikrar anak buahnya sudah pulih daripada kekecewaan dan bersedia memburu kemenangan.
“Memang kekecewaan masih ada, tetapi kami perlu mengembalikan semangat pasukan,” kata Loew selepas Jerman disingkirkan 0-1 oleh Sepanyol yang menampilkan permainan lebih berkesan di Durban, awal pagi Selasa lalu.
“Saya yakin melangkah menghadapi perlawanan itu dengan tumpuan yang sepatutnya. Tiada siapa perlu berasa rendah diri dan kami mahu menikmati perlawanan terakhir yang terbaik di sini.”
Pasukan kendalian Loew sebelum ini menyingkirkan England dan Argentina dengan bergaya di pusingan kalah mati.
Berdasarkan sejarah, kemenangan tidak berpihak kepada juara dua kali Piala Dunia, Uruguay yang sekadar menduduki tangga keempat pada dua pertemuan separuh akhir sebelum ini - tewas kepada Austria pada 1954 dan Jerman, 1970.
Jerman menang ketiga-tiga pertemuan separuh akhir mereka dan tewas hanya sekali kepada Perancis pada penentuan 1958.
Dua pemain Jerman dan Uruguay - Thomas Muller dan Luis Suarez - yang digantung sebelum ini bakal beraksi semula, lantas menjanjikan pertembungan menarik apabila kedua-dua pasukan menurunkan barisan penuh. – Reuters
(Sumber : Berita Harian)
No comments:
Post a Comment