KUALA LUMPUR, 7 SEPTEMBER 2010 : Misteri kehilangan pengasas syarikat kosmetik Nouvelle Beauty Care Sdn Bhd, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, sejak seminggu lalu semakin terungkai berikutan penemuan dua kereta mewah, masing-masing miliknya dan milik peguam sivilnya di sini, malam tadi.
Namun, Sosiliwati masih tidak ditemui bersama peguam sivilnya, Ahmad Kamil Abd Karim, pegawai bank, Noor Hisham Mohammad serta pemandunya, Kamarudin Shansudin.
Kereta jenis BMW X5 warna hitam bernombor pendaftaran WTL 11 milik Sosilawati ditemui seorang penduduk di Apartmen Angsana, Taman Subang Mewah di sini, kira-kira jam 8.30 malam sebaik butiran kenderaan terbabit disiar Buletin Utama TV3.
Ia ditemui diletakkan di tempat letak kereta apartmen berkenaan dengan pintu tidak berkunci tetapi bahagian dalamnya tidak berusik.
Kereta jenis BMW 525i warna biru bernombor pendaftaran AAJ 5 milik Ahmad Kamil pula ditemui diletak di hadapan Hotel Dorsett di SS12, Subang Jaya kira-kira jam 9 malam hasil maklumat awam. Difahamkan, kereta Ahmad Kamil ditemui dalam keadaan baik tetapi terdapat kesan lumpur.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Omar Mamah ketika dihubungi mengesahkan penemuan kedua-dua kereta berkenaan.
Sementara itu, pengusaha warung, Norizal Othman, 31, yang menemui kereta mewah milik Sosilawati, berkata beliau mengesyaki sesuatu selepas kenderaan mewah berkenaan diletakkan di situ sejak seminggu lalu.
Di kawasan ini memang banyak kereta mewah disimpan. Jadi, kehadirannya menarik perhatian ramai, lebih-lebih lagi agak lama ia diletakkan di situ tanpa diambil sesiapa.
"Bila TV3 menyiarkan nombor pendaftarannya dalam Buletin Utama malam tadi, saya terus teringatkan kereta itu lalu memberitahu Jawatankuasa Penduduk Apartmen Angsana yang kemudian menghubungi polis," katanya.
Bagaimanapun, Norizal tidak dapat mengenalpasti mana-mana individu meletak kereta itu di tempat letak kereta berkenaan.
"Kereta itu memang ditemui dalam keadaan sudah diletakkan di situ. Siapa yang memandunya memang saya tidak perasan tapi memang sudah lama ia di sini," katanya.
Seorang lagi saksi, Roslan Abd Rahman, 46, berkata beliau nampak seorang lelaki Melayu dalam lingkungan 30-an meletakkan kereta itu di situ.
Keadaannya mencurigakan... tengok keadaan sekeliling kalau gerak-gerinya diperhatikan. Saya tidak tahu kereta itu milik Datuk Sosilawati sehinggalah keluar dalam berita, katanya.
Manakala, anak sulung Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 25, turut ditemubual media menyatakan bahawa dia berasa yakin ibunya itu dalam keadaan selamat dan masih berada di dalam negara.
"Hati saya kuat mengatakan ibu masih berada di dalam negara. Semoga dia selamat,"katanya.
Ditanya berhubung motif kehilangan ibunya, dia bagaimanapun sukar mengenal pasti sama ada ia bermotif jenayah atau sebaliknya, namun percaya ibunya mungkin berhadapan 'detik sukar'.
"Kami sudah membuat laporan selain memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur berhubung kes kehilangan ibu. Buat masa ini kami berharap polis melakukan sesuatu dan membantu kami menjejaki ibu," katanya.
Difahamkan pasport milik Sosilawati, 47, ditemui berada di rumahnya manakala mangsa tidak membawa sebarang pakaian seperti kebiasaannya jika dia mempunyai tugasan di luar negara.
Pada masa sama, Erni turut kesal berikutan laporan akhbar Kosmo yang mendakwa ibunya membawa RM4 juta sedangkan maklumat terbabit dianggap kabur dan tidak tepat.
"Saya tidak pasti dari mana maklumat itu diperoleh, namun pendedahan berita terbabit boleh memburukkan keadaan dan keselamatan emak. Saya cuma berharap kes kehilangan emak ini tidak disensasikan. Perkara ini membabitkan keselamatan nyawa ibu saya. Kalau boleh saya tidak mahu membuka mulut kepada media kerana bimbang akan memburukkan keadaan," katanya.
Erni juga mendedahkan cubaan individu tertentu yang cuba mensabotaj perniagaan kosmetik milik ibunya itu selepas kehilangan ibunya mendapat liputan meluas media.
"Perlu diingatkan operasi syarikat Nouvelle Beauty di Jalan Raja Bot, Chow Kit, berjalan seperti biasa dan stokis serta pelanggan tidak perlu gusar. Operasi syarikat tidak terjejas dan sebarang pertanyaan berhubung produk atau barangan syarikat ini boleh disalurkan ke talian 03-26915153 atau 03- 26925153," katanya.
No comments:
Post a Comment