AnooX Community

Get Your Free Moneys Now!

Friday, August 29, 2008

Pembangkang bimbang defisit belanjawan semakin bertambah

KUALA LUMPUR: Parti pembangkang bimbang dengan keadaan defisit belanjawan yang semakin bertambah dan mendakwa kerajaan gagal memberikan rangsangan kepada keadaan ekonomi yang semakin lembab.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah tidak berupaya memberikan rangsangan baru kepada ekonomi negara dan ia jelas dilihat dalam bajet kali ini apabila tidak terdapat insentif baru bagi mengalakkan pertumbuhan ekonomi negara.

"Masalahnya ialah kita hilang daya saing, pengurusan lembab dan rasuah. Kalau kita lihat defisit sudah bertambah," katanya kepada pemberita selepas pembentangan Bajet 2009 di Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Permatang Pauh daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata Malaysia sebagai sebuah negara pengeluar minyak sepatutnya mempunyai lebihan dalam belanjawannya sama seperti negara pengeluar minyak yang lain.

"Bagaimanapun, Malaysia dengan dana yang besar masih mengalami defisit. Kalau kos mengendalikan projek RM40 billion, RM10 billion mesti hilang di tengah jalan," katanya.

Semasa membentangkan Bajet 2009, Abdullah, yang juga Menteri Kewangan berkata, defisit fiskal dianggar meningkat kepada 4.8 peratus pada tahun ini, bagaimanapun kerajaan percaya defisit fiskal yang tinggi ini merupakan keperluan 'one-off' dan kerajaan komited untuk mengurangkannya kepada 3.6 peratus pada tahun 2009.

Bagi Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa, Bajet 2009 secara umumnya dilihat sebagai boleh mengatasi masalah golongan yang berpendapatan rendah dan golongan miskin tetapi mahu kerajaan mengawasi pelaksanaan projek-projek pembangunan dengan lebih teliti.

"Kerajaan perlu buat pengawasan yang teliti terutama dalam projek menaikkan kemudahan pengangkutan awam, sistem rel dan sistem LRT," katanya.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata Bajet 2009 hanya menangani sebahagian masalah golongan miskin tetapi tidak keseluruhan majoriti rakyat.

"Kita mahu melihat majoriti rakyat Malaysia mendapat bantuan untuk menghadapi masalah kenaikan harga. Tiada pengagihan dana apabila Petronas memperolehi pendapatan yang banyak.

"Katalah, jika kita memberi bantuan RM6,000 kepada golongan miskin, ia akan hanya membabitkan kos RM30 bilion setahun, yang hanya satu pertiga daripada keuntungan Petronas. Jika mereka boleh berbuat demikian, mengapa rakyat Malaysia tidak boleh memperolehinya," katanya.

Bagi Ahli Parlimen Bebas dari Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali, bajet kali ini boleh dikira hebat walaupun kerajaan menghadapi kesukaran dalam keadan ekonomi global yang tidak menentu.

"Walaupun dalam keadaan yang tidak menentu, ia masih boleh bagi sedikit insentif kepada rakyat," katanya. - Bernama

No comments:

Mari-mari join Hqbux

Latest News

Book yours now!