BAJET 2009 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri di Dewan Rakyat semalam jelas memberi tumpuan kepada langkah-langkah bagi menjamin dan mengekalkan kesejahteraan rakyat dan negara yang kita bina sejak mencapai kemerdekaan 51 tahun lalu.
Langkah-langkah yang akan diambil kerajaan itu diyakini melegakan semua peringkat masyarakat apabila semua strategi itu diambil untuk mengurangkan beban akibat kenaikan harga minyak dunia melalui pendekatan peluasan jaringan keselamatan sosial, peningkatan pendapatan boleh guna rakyat dan menambah baik pengangkutan awam.
Dengan tema Kerajaan Prihatin, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, merumuskan tiga strategi utama iaitu memastikan kesejahteraan rakyat, membangunkan modal insan berkualiti dan memperkukuhkan daya tahan negara bagi menangani kesan persekitaran luar yang semakin sukar.
Pendekatan strategi-strategi yang dirumus dalam Bajet 2009 memperlihatkan bahawa kerajaan mendengar keluh resah rakyat dan bertindak untuk meringankan beban kos sara hidup setiap lapisan masyarakat yang kian meningkat khususnya golongan berpendapatan rendah.
Kita bersyukur kerana hampir semua pihak mendapat 'habuan' masing-masing. Rakyat berpendapatan rendah dan miskin mendapat hadiah dalam bentuk insentif dan bantuan kebajikan.
Bagi golongan berpendapatan sederhana, langkah kerajaan menaikkan rebat cukai, pengecualian cukai ke atas simpanan dan pengurangan cukai import barangan pengguna serta mengurangkan kadar cukai kenderaan penumpang berenjin diesel sekurang-kurangnya dapat meningkatkan kuasa beli mereka yang terjejas akibat peningkatan inflasi semasa. Untuk majikan sektor swasta, mereka diberi potongan atau pelepasan cukai, sementara kakitangan kerajaan pula mendapat durian runtuh - bonus satu bulan.
Kita boleh menganggap bajet paling mesra rakyat kali ini sekurang-kurangnya dapat mengubati perasaan kita semua dalam menghadapi situasi pertumbuhan ekonomi dunia yang berubah-ubah.
Dengan pendekatan istimewa dalam Bajet 2009, tersirat usaha kerajaan untuk merapatkan hubungan silaturahim antara ahli keluarga yang berjauhan antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak, hubungan majikan dalam menjaga kebajikan pekerja, hubungan kerajaan dengan peniaga dan syarikat swasta.
Beberapa pendekatan dan strategi yang dirancang dalam Bajet 2009 diharap disambut baik oleh semua golongan rakyat agar bersama-sama dengan kerajaan untuk memulih dan menggerakkan semula ekonomi negara kita.
Sebagaimana seruan Perdana Menteri, elok kita ketepikan ketidakpastian dan spekulasi politik dan menumpukan lebih masa untuk memajukan ekonomi negara.
Hakikatnya ada kebenaran kenyataan Perdana Menteri bahawa rakyat tidak akan dimakmurkan dan negara tidak dapat dibangunkan hanya dengan retorik politik. Budaya politik yang keterlaluan merugikan setiap kita, malah menjejaskan kemakmuran negara.


No comments:
Post a Comment