DURBAN: Belanda ada sebab untuk menunjukkan rasa hormat terhadap Jepun sebelum perlawanan Kumpulan E, hari ini, bukan sekadar kerana kemenangan mengejutkan Blue Samurai ke atas Cameroon dalam pembukaan Piala Dunia tempoh hari.
Belanda yang mahu melihat peningkatan persembahan berbanding kemenangan 2-0 ketika bergelut menentang Denmark, Isnin lalu, masih terkenang episod diperkotak-katikkan Jepun selama sejam dalam perlawanan persahabatan, tahun lalu.
Belanda akhirnya meraih kemenangan 3-0 pada perlawanan di Enschede dan keputusan sama di Stadium Moses Mabhida hari ini, akan membantu usaha mereka menempah tempat ke pusingan 16 terakhir.
“Tempoh sejam pertama, Jepun menguasai perlawanan tetapi akhirnya kami menang,” kata perancang tengah Belanda, Wesley Sneijder kepada wartawan.
“Jurulatih kami berkata, ia adalah perlawanan tunggal yang menyaksikan lawan kami memberi kesukaran kepada kami, jadi biarkan ia menjadi perlawanan terakhir seperti itu.”
Jurulatih, Bert van Marwijk dijangka mengekalkan barisan yang sama apabila menentang Denmark, sekali lagi cenderung menggunakan pemain sayap hebat, Eljero Elia sebagai pemain yang mencetuskan impak dari bangku simpanan.
Kemenangan Jepun ke atas Cameroon di Bloemfontein Isnin lalu turut menamatkan rentetan keputusan buruk Takeshi Okada dan jurulatih itu dijangka melupakan gaya permainan corak hantaran pendek kepada gaya lebih
defensif dan kompak. – Reuters
(source : Bharian online)
No comments:
Post a Comment