Kemenangan itu membolehkan skuad Blue Samurai mengikut jejak langkah satu lagi pasukan dari Asia, Korea Selatan yang menang pada perlawanan pembukaan dengan menewaskan Greece dalam saingan Kumpulan B, Sabtu lalu.
Jepun dan Cameroon yang mempunyai rekod tidak pernah menang selepas dibolosi gol pertama dalam perlawanan Piala Dunia nyata mengambil pendekatan berhati-hati sehingga menyebabkan aksi di awal permainan berlangsung agak hambar.
Satu-satunya gerakan bahaya yang berjaya dijana wakil Afrika, Cameroon adalah menerusi penyerang Pierre Webo yang membuat hantaran lintang di depan pintu gol tapi gagal disambar Maxim Choupo-Moting pada minit ke-8.
Malah kehadiran penjaring terbanyak Cameroon, Samuel Eto'o yang mengumpul 42 gol antarabangsa juga tidak banyak membantu bahagian serangan skuad The Indomitable Lions itu.
Bagaimanapun permainan kembali dihidupkan apabila Jepun yang gagal membuat percubaan tepat ke arah pintu gol lawan selepas hampir separuh babak berjaya memecah kebuntuan.
Gol itu berpunca daripada kegagalan pemain pertahanan Cameroon memintas bola hantaran lintang Daisuke Matsui sehingga memberi ruang buat pemain tengah Honda melepaskan tendangan menewaskan penjaga gol Souleymanou Hamidou pada minit ke-39.
Jaringan itu cukup manis buat bintang CSKA Moscow itu selepas menyambut hari jadi ke-24 kelmarin. Ketinggalan 1-0, Cameroon memberi petanda awal untuk mencipta kebangkitan apabila melancarkan serangan pada babak kedua, namun sepakan lencong Choupo-Moting di minit ke-49 tersasar meskipun berada di posisi terbaik untuk menghasilkan gol.
Ketika Cameroon bertungkus lumus mencari gol penyamaan, skuad kendalian jurulatih Takeshi Okada hampir menggandakan jaringan namun rembatan dari luar kotak penalti Makoto Hasebe berjaya ditepis keluar Hamidou di minit ke-81.
Peluang terakhir Cameroon untuk mengelak kekalahan hadir menerusi percubaan pemain pertahanan Stephane M'Bia, namun rembatan derasnya sekadar menggegar palang gol Jepun. - Agensi
(Source : myMetro)
No comments:
Post a Comment