Oleh JAMDI NASIR dan ZULHISHAM ISHAK(Utusan Malaysia)
KOTA KINABALU 17 Sept. – Parti Maju Sabah (SAPP) hari ini mengumumkan keluar daripada Barisan Nasional (BN) tiga bulan selepas menyatakan pendirian hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi serta bersedia menyokong usul undi tidak percaya terhadap Abdullah di Dewan Rakyat.
Pada sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti itu di sini, Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee berkata, parti tersebut memutuskan untuk keluar daripada BN manakala wakil rakyatnya akan bertindak sebagai pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan di Parlimen.
Beliau bagaimanapun menegaskan, parti tersebut termasuk empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan dua Ahli Parlimen tidak akan menyertai pakatan pembangkang, sebaliknya mereka akan bertindak sebagai wakil rakyat bebas.
Berikutan keputusan SAPP itu, pakatan pembangkang tidak akan menerima apa-apa tambahan perwakilan di Dewan Rakyat kecuali wakil rakyat bebas akan menjadi tiga orang iaitu Ahli Parlimen Sepanggar-SAPP, Datuk Eric Majimbun, Ahli Parlimen Tawau-SAPP, Datuk Dr. Chua Soon Bui serta Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali.
“SAPP kini bebas daripada BN. Kita akan menggunakan kebebasan ini untuk berjuang mencapai matlamat parti bagi memenuhi misi kami mewujudkan kerajaan yang bertanggungjawab, progresif, adil dan masyarakat harmoni.
“Kita tidak lagi bekerja untuk BN, kuasa kini kembali ke tangan kami. Kami akan membina masa depan yang lebih cerah untuk rakyat dan generasi muda akan datang,” katanya.
Teck Lee berkata, berikutan keputusan itu, mulai esok semua wakil rakyat SAPP akan meletak jawatan sama ada dalam kerajaan negeri, agensi dan majlis tempatan.
Antara yang bakal terlibat ialah Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Raymond Tan Shu Kiah yang merupakan Timbalan Presiden parti; Pembantu Menteri Kewangan, Melanie Chia (Ketua Wanita); Setiausaha Politik Ketua Menteri, Jimmy Wong (Naib Presiden); serta Timbalan Speaker DUN Sabah, Datuk Frankie Chong (Naib Presiden).
ADUN SAPP yang lain ialah ADUN Elopura, Au Kam Wah (Ketua Pemuda) dan ADUN Likas, Datuk Liew Teck Chan (Timbalan Presiden).
Menurut Teck Lee, mesyuarat MT SAPP petang ini dihadiri oleh 32 daripada 35 ahli MT parti itu.
No comments:
Post a Comment