PETALING JAYA: Polis meluluskan permit kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menganjurkan perhimpunan sambutan Hari Malaysia bermula 7 malam esok di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Kelana Jaya di sini, kata Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar hari ini.
Namun begitu, beliau mengingatkan pihak penganjur supaya memastikan perhimpunan berlangsung dalam keadaan terkawal.
Khalid berkata, pihak penganjur perlu bertanggungjawab dalam memastikan majlis berjalan secara aman dan tidak mengganggu aliran trafik yang boleh mengganggu ketenteraman kawasan sekitar stadium.
"Jika mereka berhimpun secara aman dalam stadium, kita tiada alasan untuk tidak memberikan mereka permit tetapi kita minta ia berjalan dalam suasana terkawal kerana kita tidak mahu sebarang perkara yang tidak diingini berlaku," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Balik Kampung-Rumah Selamat di Subang Jaya dekat sini.
Perhimpunan itu yang dianjurkan PKR bersama dengan Kerajaan Negeri Selangor dikatakan bertujuan untuk menyambut hari penubuhan Malaysia yang jatuh pada 16 September.
Khalid berkata, mana-mana pihak yang hendak menganjurkan apa jua perhimpunan aman selepas ini diminta memohon permit supaya polis dapat membuat kawalan dan pemantauan dalam memastikan aliran trafik, ketenteraman dan keselamatan awam terjaga.
Mengenai program Balik Kampung-Rumah Selamat, beliau berkata, menerusi program itu orang ramai yang mahu pulang ke kampung sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri nanti, tidak perlu gusar lagi tentang keselamatan rumah mereka.
Katanya mereka hanya perlu mendaftarkan butiran tertentu di balai polis termasuk tarikh mereka akan bercuti dan pulang supaya polis dapat membuat rondaan keselamatan di rumah penduduk yang berdaftar.
Buat masa ini, katanya kempen tersebut disasarkan kepada penduduk sekitar Subang Jaya termasuk USJ, Putra Height dan Bandar Sunway dan ia adalah hasil kerjasama antara Persatuan Penduduk USJ dengan Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya.
Khalid berkata, inisiatif sebegini dapat menanam sifat kesedaran yang tinggi kepada masyarakat agar lebih berhatihati apabila hendak pergi bercuti dan meninggalkan rumah dalam tempoh yang agak lama.
"Saya mengalu-alukan persatuan-persatuan penduduk di tempat lain juga melakukan perkara yang sama dan bekerjasama dengan kami dalam memastikan tiada jenayah berlaku ketika musim perayaan.
"Pada tahun lepas, kira-kira 300 penduduk di sini yang melibatkan diri dalam program ini dan kita telah berjaya capai sifar peratus jenayah, hasil daripada rondaan sistematik yang dilakukan," katanya. BERNAMA
Monday, September 15, 2008
PKR bertanggungjawab tentukan perhimpunan Hari Malaysia tidak ganggu ketenteraman awam
14-09-2008 06:00:32 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment