KUALA LUMPUR 28 Ogos - Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengangkat sumpah hari ini memberi jaminan akan menjadikan Dewan Rakyat sebagai gelanggang yang benar-benar berfungsi menyuarakan tuntutan rakyat.
Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, beliau berasa terharu dapat kembali ke Parlimen selepas 10 tahun disingkirkan daripada kerajaan pada 2 September 1998.
''Selepas segala yang saya harungi sepanjang tempoh itu, sekarang saya berasa terharu dan bersyukur dapat kembali ke Parlimen selepas satu dekad, ia adalah hak saya.
''Saya memandang ke depan untuk menjalankan peranan saya bersama sahabat dalam pakatan pembangkang iaitu PKR, Pas dan DAP," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen kira-kira setengah jam selepas mengangkat sumpah.
Turut hadir isteri beliau yang juga Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Anwar memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh dengan majoriti 15,671 Selasa lalu dengan mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Arif Shah Omar Shah dan seorang lagi calon, Hanafi Mamat dari Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM).
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu dilucutkan dari jawatan dalam kerajaan pada tahun 1998 berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa dan liwat.
Menurut Anwar, kemenangan sebagai calon PKR di Permatang Pauh adalah petunjuk bahawa rakyat masih mahukan beliau kembali ke Dewan Rakyat.
''Kejayaan ini dicapai selepas pelbagai langkah dilakukan oleh kerajaan BN untuk menggagalkan usaha saya menduduki kerusi di Parlimen menerusi asakan peribadi pada kempen pilihan raya kecil lalu.
''Alhamdullillah dengan kebijaksanaan pengundi dan kematangan mereka membuka laluan ini, saya berasa lega kerana dapat dibebaskan daripada cengkaman sedemikian," katanya.
Mengenai kejayaannya di Parlimen Permatang Pauh, Anwar berkata, ia turut mencerminkan peralihan besar sokongan kaum Cina dan India termasuk kawasan luar bandar kepada PKR.
Menjawab soalan mengenai institusi Yang di-Pertuan Agong jika berlaku peralihan kuasa Kerajaan Pusat kepada PKR, Anwar berkata, perkara itu tidak perlu dipersoalkan kerana kuasa baginda sudah termaktub dalam undang-undang dan Perlembagaan.
Sebelum itu, Anwar yang berpakaian baju Melayu berwarna gelap lengkap bersongkok mengangkat sumpah pada pukul 10.05 pagi di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Beliau memasuki Dewan Rakyat pada pukul 9.50 pagi dengan diiringi oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur), Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) serta beberapa Ahli Parlimen daripada PKR dan DAP.
Acara angkat sumpah itu hanya disaksikan kira-kira 70 Ahli Parlimen iaitu 30 orang daripada BN dan 40 lagi daripada parti pembangkang.
Anwar, 61, yang dilantik Ketua Pembangkang, turut menerima kata-kata nasihat daripada Pandikar Amin, yang selepas majlis angkat sumpah itu berkata, beliau berharap Anwar dapat memainkan peranannya di Dewan dengan baik.
Menurut Pandikar Amin, Anwar juga akan diberikan segala keistimewaan yang dinikmati oleh seorang Ketua Pembangkang.
Sebaik sahaja upacara ringkas itu berakhir, Datuk Eric E. Majimbun (BN-Sepanggar) sebelum mengajukan soalan pertama, sempat mengucapkan tahniah kepada Anwar yang berjaya memenangi pilihan raya kecil itu dan pemilihannya sebagai Ketua Pembangkang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz pula sebelum menjawab soalan pertama, turut mengucapkan tahniah kepada Anwar.
No comments:
Post a Comment