KLANG: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memuji langkah kerajaan menambah baik sistem pengangkutan awam, terutama sistem pengangkutan rel, yang sering sesak dengan penumpang.
Semasa membentangkan Bajet 2009 di Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata sejumlah RM35 bilion akan dibelanjakan dalam tempoh 2009 hingga 2014 bagi meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan awam, termasuk meningkatkan kapasiti perkhidmatan rel sedia ada, membina landasan baru, menambah jumlah bas dan menyediakan prasarana berkaitan.
Dr Mahathir berkata: "Setelah menaiki tren komuter dan LRT (Transit Aliran Ringan), saya rasa perdana menteri tentu tahu keadaannya."
Beliau berkata sebelum ini beliau juga kerap menaiki tren dan selalunya beliau berpeluang mendapat tempat duduk, tetapi kini beliau sukar mendapat tempat duduk kerana terlalu banyak orang menggunakannya dan perkara ini berlaku sejak sebelum kenaikan harga minyak lagi.
"Jumlah penumpang tren komuter dan LRT bertambah sekarang dan perkara ini amat perlu diberi perhatian oleh kerajaan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen derma darah pra Ramadan anjuran Pusat Darah Negara, Alumni Maktab Rendah Sains Mara (Ansara), AEON CO (M) Bhd dan Utusan Melayu (M) Bhd di sebuah pusat beli-belah di Bukit Tinggi, di sini. - Bernama
No comments:
Post a Comment