KUALA LUMPUR 29 Ogos - Kerajaan mengumumkan pengecualian duti import 100 peratus dan duti eksais sebanyak 50 peratus kepada pemegang francais yang mengimport kereta hibrid pasang siap (CBU) dengan kapasiti enjin di bawah 2,000 cc.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, pengecualian itu adalah selama dua tahun sebagai persediaan untuk mereka memasang kereta itu di dalam negara.
Beliau berkata, pengecualian cukai jualan dan duti import turut dijalankan ke atas produk-produk yang dapat membantu penjimatan tenaga.
``Pengecualian duti import dan cukai jualan akan diberikan ke atas peralatan sistem solar fotovolta (solar photovoltaic), barang perantaraan seperti motor kecekapan tinggi dan bahan-bahan penebat,’’ katanya.
Perdana Menteri menambah, pengecualian cukai jualan juga diberikan ke atas peralatan sistem pemanasan solar keluaran tempatan.
``Barangan pengguna keluaran tempatan seperti peti sejuk, alat penyaman udara, lampu, kipas angin dan televisyen yang menjimatkan tenaga juga akan diberi pengecualian cukai jualan,’’ katanya. - Utusan
No comments:
Post a Comment