KUALA LUMPUR 29 Ogos — Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan Negara ke-51, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berpuas hati dengan persembahan menarik 16,433 peserta pada raptai penuh perbarisan Hari Kemerdekaan di sini hari ini.
Katanya persembahan pada perbarisan sambutan Hari Kemerdekaan itu yang bertemakan “Perpaduan Teras Kejayaan” walaupun tidak lama tetapi ia cukup memberangsangkan dan kelihatan lebih gah berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Persembahan kali ini bersesuaian dengan peruntukan (sebahagian daripada RM20 juta) yang kita terima, tapi saya bangga kerana semangat yang ditunjukkan peserta serta pelbagai peralatan dan kenderaan jabatan yang digunakan pada perbarisan kali ini,” katanya pada sidang akhbar selepas menyaksikan raptai penuh Hari Kemerdekaan di Dataran Merdeka di sini, pagi ini.
Perbarisan hampir tiga jam bermula 7.50 pagi itu, turut menyaksikan pembacaan lafaz ikrar, nyanyian lagu Negaraku yang diiringi 14 das tembakan meriam, lagu-lagu patriotik, lintas hormat 14 helikopter Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM), polis dan Jabatan Perkhidamatan Bomba dan Penyelamat membawa bendera Malaysia dan bendera 13 negeri dan pesawat-pesawat pejuang milik TUDM.
Pelbagai kenderaan agensi kerajaan termasuk tentera, polis, bomba, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan kereta buatan negara serta pasukan berkuda Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut serta pada raptai perbarisan sambutan ulang tahun itu Ahad ini. - Bernama
No comments:
Post a Comment