AMANAH Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNM) mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak tujuh sen seunit untuk Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW 2020) bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2008.
Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, berkata kadar pengagihan pendapatan sebanyak tujuh sen itu membabitkan pembayaran RM498.52 juta, iaitu peningkatan 42.02 peratus berbanding RM351.02 juta bagi 2007.
“Ia bakal membabitkan pembayaran kepada 789,472 pemegang unit yang melanggan 7.76 bilion unit ASW2020,” katanya dalam sidang akhbar mengumumkan pengagihan pendapatan itu di Kuala Lumpur, semalam.
Menurutnya, sehingga 20 Ogos lalu, ASW sudah memperolehi pendapatan kasar berjumlah RM584.19, meningkat sebanyak 9.78 peratus berbanding RM532.14 juta untuk tempoh sama tahun lalu.
Ahmad Sarji berkata, keuntungan penjualan saham menyumbang RM223.66 juta, pendapatan dividen menyumbang RM247.95 manakala faedah serta pendapatan lain ialah RM112.58 juta.
Pengiraan pengagihan pendapatan kali ini, katanya, berdasarkan purata baki terendah bulanan bagi tempoh pelaburan sepanjang tahun kewangan 2008 iaitu mulai 1 September 2007 hingga 31 Ogos 2008.
Bagi pemegang unit yang melanggan unit ASW2020 menerusi Skim Pelaburan Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pembayaran pengagihan pendapatan akan dikreditkan ke akaun pelaburan KWSP pelabur.
No comments:
Post a Comment