KUALA LUMPUR, 31 Ogos (Bernama) -- Perbarisan ulang tahun ke-51 ulang tahun kemerdekaan negara peringkat nasional di Dataran Merdeka di sini hari ini bukan sahaja meliputi pelbagai bangsa dan agama, malah juga merangkumi pelbagai peringkat umur.
Buat pertama kali kontinjen paling muda, seramai 150 pelajar pra sekolah turut menyertai perbarisan dan perarakan raksaksa ini yang disertai 16,433 peserta termasuk pesara polis.
Bertemakan "Perpaduan Teras Kejayaan", perhimpunan perbarisan bermula sebaik sahaja keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin serta Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah.
Sebelum itu Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bersama isteri Datin Seri Jeanne Abdullah tiba dengan memandu sendiri kereta elektrik inisiatif Malaysia Proton Persona putih.
Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor tiba dengan memandu sendiri kereta Proton Savvy berwarna merah.
Acara perhimpunan dan perbarisan dimulakan dengan berkumandangnya lagu "NegaraKu" yang turut diiringi dengan lintas hormat udara oleh helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan membawa Jalur Gemilang dan bendera Angkatan Tentera Malaysia sambil melepaskan asap berwarna merah, biru dan kuning, warna bendera Malaysia.
Tuanku Mizan turut berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota Satu Rejimen Askar Melayu DiRaja.
Majlis diteruskan dengan upacara menaikkan Jalur Gemilang serentak dengan nyanyian lagu "Negaraku" dan tembakan meriam 14 das.
Acara seterusnya diikuti dengan lagu-lagu patriotik Jalur Gemilang, Cemerlang, Gemilang, Terbilang, dan lagu tema sambutan "Perpaduan Teras Kejayaan", disampaikan oleh 2,000 peserta kumpulan koir dari institusi perguruan.
Upacara bacaan ikrar "Rukun Negara" dilakukan oleh tujuh pelajar sekolah menengah yang mewakili pelbagai kaum di negara ini diketuai oleh Mohd Hafizul Akhmal Azeman yang disusuli dengan laungan "Merdeka" sebanyak tujuh kali.
Dataran Merdeka kemudiannya bertukar suasana menjadi lebih meriah apabila seramai 2,880 orang pelajar sekolah menyajikan persembahan padang yang penuh warna-warni bertemakan "Perpaduan Teras Kejayaan" yang merangkumi gabungan persembahan puisidra (puisi dan drama), kawad formasi dan seni mempertahankan diri serta senamrobik yang diselang seli dengan pembentukan 'grafik manusia' oleh para pelajar sekolah sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Perbarisan dimulakan dengan perarakan Jalur Gemilang raksaksa dan bendera negeri oleh pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) termasuk kontinjen 30 tokoh negara dalam pelbagai bidang.
Mereka termasuk angkasawan negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor, jurulatih badminton negara Datuk Misbun Sidek, aktivis masyarakat Tan Sri Lee Lam Thye dan aktivis alam sekitar Karam Singh Walia yang diarak dengan kereta buatan nasional sebagai penghargaan atas sumbangan mereka kepada negara.
Perbarisan hampir dua jam yang berakhir pada jam 10.10 pagi ini turut disaksikan ribuan rakyat Malaysia termasuk pelancong yang mula membanjiri Dataran Merdeka seawal pukul 6.30 pagi selain jutaan lagi yang menonton menerusi siaran langsung di televisyen.
Di TERENGGANU, buat julung kalinya sambutan Hari Kebangsaan diadakan di Taman Bandar Chukai, Kemaman dengan disertai 220 pasukan terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan menengah, pasukan tentera, polis, jabatan kerajaan dan badan berkanun, Jawatankuasa Keselamatan, Kemajuan dan Kebajikan Kampung (JKKKK) dan sektor swasta.
Turut berangkat ke majlis tersebut ialah Ahli Majlis Penasihat Pemangku Raja Tengku Sri Laksamana Raja serta isteri dan Menteri Besar Datuk Ahmad Said bersama barisan Exco dan ketua-ketua jabatan.
Selain perarakan yang disertai oleh 10,000 orang, beberapa persembahan diadakan termasuk persembahan tarian perang oleh Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD), lompat tali berirama oleh pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kompleks Gong Badak, dan senaman Tai Chi oleh kakitangan Yayasan Pembangunan Keluarga.
Di SABAH, 150 kontinjen yang terdiri daripada pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi, kakitangan kerajaan dan swasta dan badan bukan kerajaan dan 17 kumpulan berkenderaan menyertai acara perbarisan Hari Kebangsaan di Kota Kinabalu.
Majlis sambutan itu dihadiri Yang diPertua Negeri Tun Ahmad Shah Abdullah.
Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman dan menteri-menteri kerajaan negeri yang lain.
Pelbagai acara diadakan bagi memeriahkan sambutan itu termasuk persembahan puisi dan kebudayaan oleh kakitangan Lembaga Kebudayaan Sabah.
Di NEGERI SEMBILAN, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Ja'afar dan Tunku Ampuan Negeri Sembilan Tuanku Najihah turut berangkat ke perhimpunan dan perarakan Hari Kebangsaan yang diadakan di Jalan Yam Tuan, berhadapan Bangunan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) di sini.
Sebanyak 58 kontinjen yang terdiri daripada parti politik, pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, pertubuhan sukarela, badan swasta, polis dan tentera menyertai perarakan tersebut.
Di KELANTAN, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menghadiri majlis tersebut yang diadakan di Stadium Sultan Mohammed IV di Kota Baharu yang disertai 80 kontinjen melibatkan pelbagai agensi pusat dan jabatan kerajaan negeri.
Sementara itu di PERLIS, sambutan kemerdekaan peringkat negeri Perlis berlangsung di Stadium Utama, Kangar malam tadi dengan 151 kontijen yang mewakili pelbagai jabatan dan agensi, sektor swasta, pertubuhan sukarela, badan berunifom dan pertubuhan politik menyertai acara perbarisan.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra berangkat menyaksikan perarakan penuh warna-warni yang disertai lebih 7,000 peserta itu yang berakhir dengan pertunjukan bunga api selama 15 minit.
Sejak beberapa tahun lalu, Perlis mengadakan perarakan hari kebangsaan pada sebelah malam yang antara lain bertujuan memberi peluang kepada rakyat menyaksikan siaran langsung sambutan hari kebangsaan di peringkat nasional melalui siaran televisyen.
Pada majlis itu, pesara guru, Azizan Ali, 61, yang mencatat rekod sebagai perenang tertua yang berjaya berenang merentasi Selat Melaka dari Langkawi ke Kuala Perlis sejauh 51 kilometer diberi penghargaan berupa sijil kerana pencapaiannnya.
Sementara itu di PERAK, Sultan Perak Sultan Azlan Shah dan Raja Pemaisuri Perak Tuanku Bainun turut berangkat ke perhimpunan sempena ulang tahun kemerdekaan negara di Padang Ipoh di sini hari ini.
Selain perbarisan daripada 85 kontinjen yang mewakili pelbagai sektor, Kelab Motosikal British Classic Ipoh dan Persatuan Volkswagen Perak turut menyertai perbarisan itu dengan mempamerkan motosikal, kereta dan van klasik.
Di KUANTAN, 67 kontinjen yang terdiri daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan sukarela, badan swasta, polis dan tentera menyertai perarakan kemerdekaan peringkat negeri yang diadakan di padang Majlis Daerah Kuantan 2 di sini.
Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menerima tabik lintas hormat di pentas utama padang berkenaan pada majlis yang bermula pukul 9 pagi dan berakhir dua jam kemudian.
Turut berangkat ke majlis yang dihadiri oleh 20,000 orang itu ialah Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar, Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob, barisan Exco kerajaan negeri, pemimpin politik serta ketua jabatan dan agensi kerajaan.
Di ALOR STAR, 123 kontinjen agensi dan jabatan kerajaan Persekutuan dan negeri, pasukan keselamatan dan NGO mewakili perbarisan sempena perayaan kemerdekaan yang disambut secara sederhana tetapi meriah di sepanjang Jalan Tunku Ibrahim.
Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah Almarhum Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah Tuanku Hamimah Hamidun, Raja Muda berangkat menyaksikan perbarisan itu.
Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak serta para anggota Exco kerajaan negeri.
Di MELAKA, 10,000 orang menyaksikan acara perbarisan dan perarakan 125 kontinjen yang dianggotai 9,378 peserta sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan di Bandar Hilir.
Kontinjen berkenaan yang membuat lintasan hormat di pentas khas di hadapan bangunan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Jalan Parameswara terdiri daripada pasukan polis, tentera, jabatan dan agensi kerajaan, pasukan beruniform, NGO dan syarikat swasta.
Turut menyaksikan acara yang dimeriahkan dengan persembahan tradisional oleh 264 pelajar sekolah ialah Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob, Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan anggota Exco kerajaan negeri.
Di KUCHING, sambutan peringkat Negeri Sarawak diadakan sederhana di Stadium Negeri, Petra Jaya dengan disertai 4,000 orang daripada 85 pasukan yang terdiri daripada pasukan tentera, polis, jabatan dan agensi kerajaan, badan berkanun, sektor swasta, NGO dan pelajar sekolah rendah dan menengah.
Majlis sambutan itu dihadiri Yang Dipertua Negeri Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng bersama isteri Toh Puan Norkiah, Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, menteri-menteri kerajaan negeri yang lain serta ketua-ketua jabatan.
Dalam ucapannya, Abdul Taib berkata Sarawak bersyukur kerana dapat menikmati keamanan, perpaduan, kemajuan dan kemakmuran menerusi penubuhan Malaysia.
Di JOHOR, sambutan peringkat negeri diadakan di bandar Mersing dengan perarakan 76 kontinjen melibatkan 2,500 perserta dari pelbagai agensi dan jabatan kerajaan, pasukan keselamatan serta NGO.
Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman menerima tabik hormat daripada kontinjen yang berarak mulai pukul 8 pagi dari Dataran Mersing Pulau ke Stadium Mini Mersing.
Lebih 30,000 orang menyaksikan pelbagai acara kebudayaan, sajak, koir dan seni mempertahankan diri, melepaskan merpati dan belon.
Abdul Ghani dalam ucapannya menasihati rakyat berpegang teguh kepada Perlembagaan Negara yang menjadi asas kewujudan dan perpaduan.
Di PULAU PINANG, sebanyak 91 kontinjen melibatkan 7,600 peserta mengambil bahagian pada perbarisan kemerdekaan di Dataran Queensbay, di Bayan Baru.
Sambutan yang pertama kali diadakan di Dataran Queensbay itu disaksikan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas, Ketua Menteri Lim Guan Eng dan barisan exco kerajaan negeri.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment